Alhamdulillah, dalam siri mawaqif pada kali ini, sekali lagi saya cuba untuk menilai filem Mat Kilau yang meletup di pawagam dan telah mencapai box office yang tertinggi dalam sejarah bahkan memintas banyak filem hollywood, bollywood yang ditayangkan di panggung wayang di Malaysia. Seperti yang kami nyatakan dan jangkaan kami pada bulan Julai yang lalu dalam Siri Fenomena Mat Kilau: Masa Untuk Perubahan menjangkakan menuju ke 100 juta amat realistik dan itulah yang berlaku. Filem ini adalah sejuzuk daripada kisah perjuangan Mat Kilau di samping sedikit tambahan untuk menyegarkan perjuangan Mat Kilau yang dikenali sebagai filem biopik.
Walaupun saya telah mengulas pada Julai yang lalu dengan tajuk Fenomena Mat Kilau: Masa untuk Perubahan tetapi pada kali ini, selepas menonton, saya merasakan perlu mengulas intipati filem, sinopsis dan kandungan cerita filem tersebut dengan lebih terfokus daripada sudut dalamannya. Justeru, ulasannya berbeza dari ulasan sebelum ini.
Alhamdulillah, selepas ia beredar dalam Netflix, saya mengambil kesempatan untuk menontonnya dan cuba menekuni setiap babak yang diolah oleh pengarah dan teamnya serta skrip yang menarik. Saya noktahkan beberapa noktah seperti berikut:
- Sejujurnya filem Mat Kilau sebagai satu revolusi filem Melayu yang pertama, menongkah arus berani menyediakan fakta serta sikap berterus-terang akan realiti dan masyarakat Melayu Islam pada masa itu dizahirkannya.
- Filem ini juga memaparkan keburukan sistem yang ada ketika itu yang berkiblatkan pada penjajah dan menikus. Bahasa yang digunakan seperti kerbau yang dengar dan patuh menjadi kelaziman kebanyakkan masyarakat.
- Filem ini menggunakan bahasa klasik dan Melayu lama amat baik dari sudut guna bahasanya, kecuali bahasa yang digunakan oleh Toga masih lagi terwujud dialek Indonesia. Tetapi ianya dimaafkan kerana Toga merupakan tonggak utama yang menghidupkan jalan cerita ini.
- Tetapi di celah-celah fahaman yang sesat seperti itu, bangkitnya sekelompok atau ta’ifah yang tetap dan teguh dengan prinsip agama, iman dan tauhidnya. Benarlah sabda Rasulullah SAW:
لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي؛ يُقَاتِلُوْنَ عَلَى الْحَقِّ، ظَاهِرِيْنَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
Maksudnya: “Akan sentiasa ada sekelompok daripada umatku yang akan berjuang membela kebenaran. Mereka ini akan sentiasa ada sehingga hari Kiamat.”
Riwayat Muslim (1923)
Imam al-Nawawi berkata: Boleh diandaikan bahawa mereka ini adalah kelompok manusia yang bermacam-macam dan daripada pelbagai jenis orang-orang yang beriman, yang menegakkan Islam kerana Allah. Antara mereka adalah orang-orang yang berjihad, golongan faqih, muhaddith, orang-orang yang zuhud, orang yang menegakkan amar makruf dan nahi munkar, dan selain daripada yang disebutkan ini, yang bergerak dalam menjalankan pelbagai jenis kebaikan. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/400)
- Mukadimah filem tersebut amat menarik mengingatkan saya kepada filem Umar Mokhtar yang digelar sebagai Lion of the Desert. Sebenarnya, mukaddimah tersebut merangkumi sinopsis keseluruhan filem Mat Kilau. Itulah yang akan dilakarkan oleh pengarah mengikut skrip dan perjuangan penentangan Mat Kilau.
- Saya kronologikan seperti berikut:
- Suasana aman yang permai tiba-tiba digerhanakan dengan kemunculan penjajah yang menjarah.
2. Bahasa angkuh penjajah dan sikap biadab dizahirkan dengan perbandingan yang amat hina, seperti kerbau ketika satu keberanian dari lubuk hati orang Melayu yang bencikan kepada kezaliman dizahirkan atas nama tauhid, syahadah dan keyakinan kepada agamanya.
3. Dizahirkan juga cinta dan kasih kepada tanah watan dalam filem Mat Kilau disebut negeri Pahang. Sifat berani hubbul watan (cintakan tanah air) amat ketara sekali.
4. Sanggup mati bersama dalam mempertahankan maruah bangsa dan tanah air serta kaum keluarga. Benarlah hadis daripada Sa’id bin Zaid R.A, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya: “Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.” [Riwayat Ahmad (1652), Abu Daud (4772), al-Nasa’ie (4095) dan al-Tirmizi (1421). Tirmizi berkata: Hadis hasan sahih]
Syeikh Syams al-Haq al-‘Azhim Abadi: Syahid tersebut bermakna syuhada’ akhirat iaitu baginya pahala syahid. (Lihat ‘Aun Al-Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud, 9/2063)
- Semangat yang ditunjukkan oleh pembesar Pahang dan ulama’ yang menjadi rujukan syura iaitu Mufti Pahang sendiri Sahibus Samahah Haji Osman Senik telah menggabungkan semangat penentangan terhadap penjajah dengan lebih teratur. Hal ini akan menguatkan lagi semangat anak bangsa dan menyatukan ketaatan kepada pemimpin mereka. Benarlah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berkata: Suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)
- Pelantikan ketua yang akhirnya diberikan kepada Mat Kilau walaupun usianya muda tetapi berdasarkan merit sifat dan kriteria yang dimilikinya. Ini dilakukan oleh Mufti negeri Pahang ketika itu. Bagi meredakan rasa tidak puas hati acara pertarungan antara tokoh yang dilantik iaitu Mat Kilau dengan Mat Lela berakhir dengan berpihak kepada Mat Kilau.
Mat Kilau bukan sahaja gagah tetapi beliau seorang yang kuat beragama dan mengamalkan amalan berzikir serta mengaji sehingga akhir hayat. Beliau juga seorang hamba Allah yang selalu ingin mendekati Allah SWT dan setiap percakapannya seperti diatur. Beliau juga menyayangi keluarga. (Lihat Sinar Harian, 16 September 2022, temuramah dengan cucunya, Muhammad al-Hamadi). Hal ini mengingatkan saya kepada perlawanan yang Rasulullah SAW uji yang ingin menyertai peperangan yang masih kecil ketika itu.
- Pembelot sentiasa wujud dan tali barut menjadi sunnah alam ini di mana kebenaran akan bertembung dengan kebatilan. Pembelot dari kalangan anak bangsa adalah perkara yang sentiasa berlaku. Sabda Nabi SAW dalam hadith Huzaifah Ibn al-Yaman:
قُلْتُ: فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: «نَعَمْ، دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ، مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا». قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ صِفْهُمْ لَنَا، قَالَ: «هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا، وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا»
Aku berkata: “Apakah sesudah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Baginda bersabda: “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahanam. Barangsiapa menyambut (mengikut seruan) mereka maka mereka akan mencampakkan ke dalam jahannam.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Baginda bersabda: “Mereka berkulit sama dengan kita dan berbicara dengan bahasa kita.”
Riwayat al-Bukhari (7084)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا’, Maksudnya berasal daripada kaum kita dan daripada orang yang berbahasa seperti kita, serta satu agama dengan kita.” (Lihat Fath al-Bari, 35/106)
- Lihatlah nasib pembelot, mati dalam keadaan hina kecuali yang berpatah kepada kebenaran seperti Awang dan Pak Deris. Sejarah pengkhianatan mereka menjadikan mereka tidak dikenang bahkan dihina serta terbang ditelan zaman. Sebaliknya, Mat Kilau sekalipun hidup terbuang akhirnya dikenang sebagai pejuang di sepanjang zaman.
- Peri pentingya syura dan mengambil tindakan dengan akal yang matang, pengalaman yang luas tanpa mengikut hati dan nafsu adalah kunci kejayaan dalam sesebuah peperangan.
- Sikap pemimpin yang belot kerana kepentingan tertentu seperti kes Pak Deris perlu disedarkan. Hal inilah yang dimainkan oleh Mat Kilau dan Wahid.
- Peranan pembesar dan ulama’ yang ikhlas berjuang perlu bersatu dan menyampaikan kehendak semua kepada penjajah telah direalisasikan oleh Datuk Bahaman, Mufti, Tok Gajah dan lain-lain. Ini juga sebahagian daripada jihad secara diplomatik dan sampai ke pihak atasan mereka. Benarlah sabda Nabi SAW:
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Maksudnya: “Jihad yang paling utama adalah mengatakan kalimat yang haq (kebenaran) kepada pemimpin yang zalim.” [Riwayat Ahmad (11159), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7571), Abu Ya’la (1101), al-Hakim (8543)]
Muhammad bin ‘Ali al-Wallawi berkata: Maksudnya, dengan nisbah kepada ucapan. Sesungguhnya seseorang mukmin itu berjihad dengan lidahnya sepertimana dia berjihad dengan tangannya. Maka perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim adalah sebaik-baik jihad orang mukmin yang berkait dengan lidahnya.” (Lihat Dzakhirah al-’Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 22/347)
- Menyusun strategi serta membina kekuatan sama ada fizikal mahupun teknologi adalah amat perlu. Benarlah firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu…”
(Surah al-Anfal: 60)
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi persediaan ketenteraan pada zaman ini perlu disesuaikan dengan peredaran zaman. Bagi zaman kini, persediaan ketenteraan termasuklah kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, kapal selam, satelit, roket bahkan senjata nuklear. Walaupun secara prinsipnya, al-Qaradawi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata nuklear kerana ia boleh menyebabkan kematian jutaan manusia, namun begitu umat Islam perlu memilikinya sebagai jaminan keselamatan terutamanya bagi mencegah ancaman kuasa besar yang sentiasa bersikap memusuhi umat Islam. (Lihat Ringkasan Fiqh Jihad, hlm. 131-132)
- Setiap perjuangan sudah tentu diisi dengan tangisan air mata, kecederaan bahkan pembunuhan yang tragis. Inilah yang berlaku kepada masyarakat dan juga kepada isteri Wahid yang syahid.
- Sikap isteri zaman dahulu yang taatkan suami walaupun bergaduh sakan berakhir dengan memahami erti perjuangan selepas dijelaskan oleh Wahid.
- Berundur bukan bermakna kalah tetapi menyusun strategi telah dilakukan oleh Mat Kilau dan pengikutnya. Akhirnya, mereka berjaya untuk menumpaskan penjajah.
Filem ini ditutup dengan klimak yang terbaik dan memberi semangat kepada penonton untuk menzahirkan rasa cinta kepada tanah watan terutamanya agama. Begitu juga terhadap Mat Kilau dan rakan-rakannya serta pengikutnya, betapa sukar dan jerihnya perjuangan ini yang dihadapi dengan tenang, penuh dengan tabah dan sabar.
Pertempuran secara bersemuka antara tentera upahan penjajah dengan pahlawan Mat Kilau, pengikutnya serta orang kampung telah menunjukkan bahawa itulah realiti dan pahit yang perlu ditelannya. Kemuncak filem ini, pengkhianat tali barut telah terbunuh dengan Mat Kilau dapat mengalahkan Toga. Benarlah firman Allah SWT:
وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ
Maksudnya: “Dan hanya para pengikut dan penolong Kami sajalah yang akan memperoleh kemenangan atas orang-orang yang ingkar.”
(Surah al-Saffat: 173)
Ibn Kathir berkata: “Yakni, tentera-tentera Kami yang beriman, mereka pasti menang. Kesudahan yang baik hanyalah bagi mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/45)
Semoga Allah lahirkan ramai lagi pahlawan yang ikhlas seperti Mat Kilau.
Sebelum saya menutup ulasan ini suka saya rakamkan ucapan setinggi penghargaan dan tahniah kepada penerbit filem, pengarah, pelakon, krew dan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi filem biopik ini: Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan. Saya akhir dengan kalimah keramatnya, berpesan kepada anak bangsanya: “Jagalah agama, bangsa dan negara. Jangan sampai satu hari nanti, bangsaku tiada negara.”